Wednesday, April 22, 2009

Bersama Cikgu Pelik- siri 1



Pakcik itu sungguh pelik. Tapi kepelikannya tidak membuat aku jelik, sebaliknya aku terasa lebih tertarik untuk mendekatinya. Aku ingin belajar daripada beliau. Dia berjaya menjadikan kepelikannya sebagai suatu magnet untuk orang melihatnya, dan apabila semua pandangan mata telah tertumpu padanya, dia menggunakan peluang itu untuk memperlihatkan kehebatannya. Sungguh pandai dia menggunakan peluang.

Siapa dia? Dia hanyalah seorang lelaki tua biasa, berumur dalam lingkungan 50-an agaknya, sering berjubah biru lusuh, berkopiah, dan suka menyampaikan kuliah di jalanan. Mungkin ramai yang mengenali beliau, mungkin juga tidak. Pertama kali aku berjumpanya di Masjid Jamek, tahun lalu, selepas usai solat Jumaat. Beliau menyampaikan kuliahnya di hadapan masjid. Asalnya ku menyangka dia hanyalah seorang penjual ubat jalanan yang biasa merapu di pasar-pasar pagi, namun apabila kuamati, ternyata dia berbeza.

Beliau menyampaikan kuliah sambil menulis pada sebuah papan putih. Di sebelahnya terdapat sebuah troli yang sarat diisi dengan timbunan-timbunan kertas. Dan yang paling menarik ialah dia meletakkan satu "tag" yang agak besar pada dadanya, yang berbunyi, "SayaKetua Saintis Dunia".

Kuliah dia pada hari itu hanyalah berkisarkan tentang ilmu-ilmu asas sifir. Namun cara dia mengajar amat jauh berbeza jika dibandingkan dengan apa yang diajar di sekolah-sekolah. Beliau mengajar sambil bercerita, penuh imaginasi, sungguh menghiburkan. Mengajar matematik, dalam masa yang sama, menghiburkan kami para pendengarnya (masa tu, bukan aku seorang yang mendengar, ada lagi beberapa orang yang nampak gayanya mempunyai tahap intelek yang tinggi). 

Dalam kuliahnya, beliau menekankan kepentingan belajar menggunakan otak kanan, iaitu bahagian otak yang berfungsi lebih kepada perkara-perkara kreatif dan imaginasi. Menurutnya, sistem pendidikan sekolah kini hanya menumpukan pada ilmu logik (penggunaan otak kiri) semata-mata. Jika sekiranya penggunaan otak kanan turut diperkasakan, maka tidak mustahil untuk bangsa Melayu menjadi maju. Dan pada penghujung kuliahnya, dia mempromosikan sebuah karyanya yang berjudul "Otak Kanan Melayu, Hebat", dijual dengan harga RM5. Memikirkan aku telah menghabiskan hampir sejam mendengar kuliahnya, apa salahnya beli, kan?

Itu peristiwa tahun lepas. 

Awal tahun ini, sekali lagi aku berjumpa dengannya, kali ini bukan di tepi jalan, tapi di Pekan Buku, UM. Kali ini dia memakai tag yang berbeza, tapi maknanya lebih dahsyat.

"I'm smarter than Einstein,
e=mc2
x=sr2"

Disebabkan aku pernah berjumpa beliau, maka pertemuan kali ini tidaklah menimbulkan rasa hairan, sebaliknya sedikit gusar kerana mungkin aku juga akan turut dilabel pelik sekiranya berbual dengannya. Ah, pedulikan persepsi orang.

"Assalamualaikum", aku memulakan bicara.

"Waalaikumsalam"

"Er, apa pakcik buat kat sini?" soalku padanya.

Aku tidak ingat apa jawapannya padaku ketika itu. Huhu. Namun, seketika kemudian beliau pula mengajukan soalan kepadaku. Nak menguji katanya, dah ramai orang yang dia tanya, pelbagai jawapan juga yang dia terima.

Beliau menunjukkan "cover" sebuah buku yang dipegangnya.

"Apa yang kamu faham bila kamu baca ni?"

Aku melihat pada tulisan yang ditunjukkan, 

"If you want to understand the universe,
 you must be in the moment of the muddle"

Lebih kurang begitulah maksud ayatnya, aku buat-buat muka berfikir sejenak. Kemudian aku membacakan translasi ayat itu padanya. Tapi, penafsiranku terhenti pada perkataan "muddle". Apakah itu?

"Apa tu muddle", tiba-tiba beliau bertanya padaku.

"Tak faham, pakcik", aku menjawab, mudah.

"Tadi saya baru check dalam kamus, menurutnya muddle ni lebih kurang macam huru-hara, kekacauan, kacau-bilau", pakcik itu memulakan kuliahnya. 

"Maksudnya kalau nak memahami alam ini, kita kena berada "in the moment", kena berhenti sejenak untuk berfikir. Sekarang, tengok gambar ni, apa kaitan dengan ayat tadi", pakcik itu kemudian menunjukkan satu gambar daripada sebuah majalah yang lain. Gambar itu menunjukkan sebuah rumah yang baru dilanda banjir, dicemari lumpur. 

"Em, gambar ni menunjukkan rumah yang baru kena bah", aku menjawab selamba. Hoho~

" Apa makna yang tersirat di sebalik gambar ni? Cuba kaitkan dengan ayat tadi", pakcik itu sedikit tergelak , mendengar jawapanku, dan cuba memberikan aku galakan untuk berfikir.

Kakak penjaga kaunter yang melihat hanya tersenyum.

Agak lama aku terdiam, cuba berfikir. Banjir, lumpur, mud, muddle? Apa kaitan? Tadi ayat kat muka depan majalah lain, ni gambar buku lain pulak.

"Entah, tak terfikir apa makna di sebalik gambar ni, mungkin ini bala atau ujian Tuhan", aku menjawab.

" Jawapan kamu tu memang jawapan yang biasa. Namun saya ada jawapan yang lain sedikit. Dalam gambar ini, lumpur kelihatan seolah-olah ingin masuk ke dalam rumah. Mengapa Tuhan hantar lumpur ini ke rumah? Dalam rumah ada siapa?", pakcik itu menjawab dan menghuraikan falsafah beliau.

"Manusia"

"Ya, dan kaitannya ialah manusia itu asalnya lumpur, tanah. Tuhan menghantarkan lumpur ke rumah untuk mengingatkan manusia bahawa asal-usul mereka ialah tanah, itu apa yang saya fikirkan", beliau menjawab.

Begitulah falsafah yang aku dapat pada hari itu. Huh, sungguh letih menulis, aku nak stop dulu. Setakat ini, aku sudah berjumpa dengannya sebanyak 3 kali, dan di setiap pertemuan itu, pasti ada "mutiara" yang diberi padaku. Nanti aku akan sambung lagi siri-siri perbualan aku dengannya. 

Salam'alayk.

No comments: