Monday, February 9, 2009

Berfikirlah Teman-Teman!!!!



TAK TAU APA!
TAK PEDULI APA!

Begitulah sikap sebahagian besar kita pada hari ini. Kita hanya akan ambil tahu mengenai sesuatu isu apabila ia memberi kesan secara langsung kepada diri kita. Kalau tepat memaku pada diri kita, baru kita peduli. Selebihnya, "usah dijaga tepi kain orang"....

Betapa manusia sebegini pentingkan diri semata-mata, sedangkan banyak perkara di luar sana yang mewajibkan kita ambil tahu, dan buat sesuatu, tetapi disebabkan keberjayaan sistem hidup yang kita lalui kini mengasingkan perkara tersebut daripada diri kita, kita tidak terasa kesannya pada diri kita.

Sedangkan kita dikurnia akal untuk menilai, tetapi kita hadkan penggunaan otak hanya pada perkara-perkara yang kita rasa menjaga kepentingan kita. Kalau boleh, otak itu tak ingin diperah langsung, lagi baik kot.

Hidup tak huru-hara,

jiwa pun tak kacau.

Tapi hakikatnya jika hidup sebegitu yang kita inginkan, tanpa masalah atau tekanan, baik pergi mati la. Jika mati, apa yang tinggal hanyalah sekujur jasad, yang tidak mampu bergerak, apa lagi membawa sebarang kesan kepada dunia ini. Orang yang hanya sekadar WUJUD tetapi tidak HIDUP, macam MAYAT la kot..(Hakikatnya jika mati, lebih banyak masalah yang dipikul)

Aku tak reti nak timbulkan kesedaran macam mana terhadap sikap tak peduli sebegini, cuma pesananku, akal ada, Lu Pikirla Sendiri..

Last sekali, aku tinggalkan kalian dengan keratan artikel daripada saifulislam.com/p=1359 untuk difikirkan bersama.

*Artikel ini lebih menumpukan pada ketidak pedulian golongan muda terhadap politik, tapi aku rasa ok la sebagai satu contoh. Selamat membaca.

"....Kemusykilan terbesar yang menjadi ancaman ideologi paling kuno tetapi pesat berkembang iaitu pemikiran AKU TIDAK PEDULISMA yang melanda masyarakat kita, khususnya dari kalangan generasi muda.

Tak peduli, tidak mahu mengambil tahu, tidak kisah… namakan apa sahaja, ia memberikan maksud pilihanraya, proses demokrasi di negara kita dan percaturan politik yang mencorakkan kehidupan mereka secara kolektif, tidak dianggap penting sama sekali.

Ketidak pedulian itu mungkin kerana sudah muak dengan politik negara yang tidak ke mana. Yang memerintah semakin parah, yang mahu menjadi alternatif, belum dapat dilihat kewibawaannya sebagai pengganti. Anak muda bukan ada masa untuk mendengar celoteh ahli politik, baik di pentas mana sekali pun, jika celoteh itu hanya cakap kosong, retorik dan jauh dari pembaris idealisma orang-orang muda. Lantas, sama ada pemerintah atau pembangkang, gagal menjadi mesra orang muda, dan menyumbang kepada kebosanan yang tinggi di kalangan mereka ini terhadap apa sahaja yang dikaitkan dengan politik.

Namun, ketidak pedulian itu juga mungkin sekadar tip of the iceberg. Isunya lebih dari itu. Lebih besar dari sekadar malas untuk peduli kepada pilihanraya. Ketidak pedulian manusia terhadap persekitarannya sering berkait rapat dengan persoalan world view… cara seseorang itu memandang dan menilai kehidupannya. Atau dalam bahasa yang lebih mudah, tidak jelas tujuan dan maksud hidupnya. Hingga tiada apa yang perlu difikirkan kecuali 5 rukun hidup iaitu makan, minum, kerja, rehat dan kahwin (atau tidak berkahwin tetapi hidup macam orang kahwin).

an-aam.gif

Mereka ini dibahasakan oleh al-Quran sebagai “seperti binatang ternakan bahkan lebih sesat adanya”. Ada telinga enggan mendengar, ada mata enggan melihat, ada akal enggan berfikir… lantas dibahasakan oleh al-Quran sebagai binatang ternak.

Jika harimau, ada jugalah megahnya dia di rimba sebagai raja. Tetapi binatang ternak… seburuk-buruk tamsilan untuk manusia yang diberi akal tetapi masih hidup dengan falsafah binatang.

Apa falsafah binatang ternak?

Anda pernah melihat kambing keluar kandang pada waktu pagi dan berazam untuk menjadi kambing yang lebih baik dari semalam? Pastinya tidak! Setiap pagi, apa yang difikirkan oleh seekor kambing ialah, apa aku nak makan hari ini, di mana aku nak berehat, siapa bini aku hari ini, dan itu sahaja. Malang sekali, tidak sedikit manusia hidup dengan falsafah yang sama. Malah kerana dia manusia, bukan hanya berfikir hari ini mahu makan apa, bahkan hari ini mahu makan siapa!

Binatang ternak yang tertambat di batang pokok menunggu saat sembelihan, bagaimana kelakuannya? Jika anda mengasah pisau, apakah lembu kambing itu akan kecut perut memerhatikan pisau atau matanya sibuk merenung rumput hijau yang lazat segar mengelilingi dirinya? Pasti sahaja, lembu dan kambing hanya berfikir tentang rumput dan perut.

Malang sekali, bagi manusia yang hidupnya sekadar untuk makan, minum, kerja, rehat dan kahwin, jika kita ceritakan kepadanya tentang perancangan musuh terhadap kita, penindasan dan korupsi, ketidak adilan dan kebejatan sosial, apa yang mampu difikirkannya hanyalah soal rumput, makanan dan segala kepentingan diri yang berkaitan dengan perutnya semata-mata.

Mereka itu seperti binatang ternak, bahkan lebih sesat lagi adanya. Sudah diberi akal, tetapi masih hidup seperti binatang.

balhumadhall.jpg
Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka Jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya; mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai. [Al-A'raaf 7: 179]

Apakah sikap tidak peduli, lumpuh reaksi dan hambar terhadap tanggungjawab mereka kepada masyarakat dan negara, merupakan simptom besar kepada melatanya generasi yang hilang arah dan tujuan hidup?..."

p/s: Keratan artikel ini aku copy dan paste kat sini tanpa kebenaran, untuk bacaan lanjut dan sebarang komen, sila lawati http://saifulislam.com/?p=1359