Wednesday, January 28, 2009

Nilai Seorang Insan




Nukilan ini ditujukan khas buat seorang sahabat, kerana aku tidak mampu melafazkan melalui kata-kata. Ini hanyalah pendapat dan pemikiran peribadiku. Silakan jika anda masih ingin mem"beta"-abu ubaidah

"Orang yang hebat tidak pernah dipengaruhi suasana, sebaliknya merekalah yang mencipta suasana dan menggerakkannya. Jika tidak, bahkan nabi sanggup untuk mengubah kaum Arab sedangkan masyarakat ketika itu adalah sejahil-jahil manusia", aku cuba menasihati sahabatku.

"Tapi tidak semua insan itu sehebat dan sekuat nabi", jawabnya ringkas dan bersahaja.

Jawapan seringkas itu membuatkan aku terkedu seribu bahasa. Memang itulah kelemahanku, aku tidak pintar dalam menegakkan hujah. Namun jauh di sudut hati aku tetap ada sedikit kegelisahan yang mengundang. Resah kerana aku gagal menyampaikan apa yang kurasa, dan resah melihat temanku yang seolah-olah terlalu mudah dipengaruhi suasana.

Aku berkata-kata bukan atas dasar memberi persepsi buta, tapi kerana aku telahpun mengenalimu semenjak kita masih mentah lagi. Dan seringkali aku lihat benda yang sama berulang-ulang dalam hidupmu, teman.

Sahabat, sebenarnya di mana letaknya nilai seorang insan itu?

Selaku seorang manusia, layakkah kita menilai kualiti diri kita sendiri?



Analogiku mudah, pernahkah ikan-ikan di lautan itu menilaikan diri mereka sendiri? Adakah apabila ikan-ikan itu dinaikkan ke daratan, sudah terlabel pada batang tubuh mereka tanda harga, lalu dijual mengikut panduan itu?

Jawapannya sudah tentulah tidak, tetapi manusia itu yang menilainya, berdasarkan apa aku kurang pasti. Namun, dari mana datangnya kuasa dan hak untuk kita menilai itu? Atas dasar apakah kita selaku manusia layak menilaikan ikan-ikan dan sekalian makhluk lain selain manusia. Sudah tentu kerana kita ini adalah sebaik-baik kejadian, kita dikurniakan sesuatu yang menjadikan kita ini semulia kejadian.

Namun, harus diingat, semulia mana manusia itu, tetap ada yang lebih mulia. Itulah Sang Pencipta yang jauh lebih memahami kita berbanding diri kita sendiri. Berdasarkan logik akal ini, sudah pastilah yang layak menilai dan menghukum makhluk bernama manusia itu hanyalah Dia, bukannya manusia lain hatta diri kita sendiri.



Dan, sejak dahulu, kita telahpun dinilai oleh-Nya

"Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma'ruf, dan mencegah dari yang munkar, dan beriman kepada Allah. Sekiranya Ahli Kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka, di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik." ali-imran(3:110)

Ini penilaian Dia terhadap diri kita selaku manusia akhir zaman. Kita dilabel sebagai sebaik-baik umat, tetapi syaratnya perlulah menjalankan kerja-kerja nabi, iaitu menyampaikan Islam kepada semua manusia, 'amar ma'ruf dan nahi mungkar.

Menjadi seperti nabi itu bukanlah suatu yang ringan. Memang berat, dan memerlukan kita memiliki kekuatan mental, fizikal, dan rohani yang tinggi. Namun, kekuatan itu tidak akan hadir tanpa kita cari. Kekuatan itu tidak akan tiba sekiranya kita takut untuk menghadapi ujian dan cabaran yang tiba.

Dan menilai diri kita sebagai lemah dan tidak layak sejak dari awal hanya akan mewujudkan "halangan minda" yang akan menyekat potensi diri. Ini bukan ungkapan merendah diri atau zuhud, tetapi bagiku inilah ungkapan takbur dan lupa diri. Ungkapan ini hanyalah ungkapan untuk menyelamatkan diri, melindungi kepentingan peribadi. Apakah yang kamu takut kamu akan hilang sekiranya kamu rempuh halangan itu?

Ingatlah pada pesanan berbisa Umar ibn al-Khattab,

"Aku ini mulia kerana Islam, maka jika aku mencari kemuliaan selain daripada Islam, maka bersedialah untuk menerima seburuk-buruk hinaan"

Manusia yang tiada harta, tidak pernah sayangkan hartanya.
Manusia yang kaya sahaja sibuk mempertahankan harta.
Kita hanya akan mempertahankan sesuatu sekiranya kita memiliki sesuatu.

Asalnya manusia daripada tanah, air mani yang hina.
Asalnya kita memang tiada maruah, jadi maruah apakah yang dipertahankan selama ini?
Asalnya kita memang tiada apa, jadi apakah yang kita miliki untuk dipertahankan?

Manusia itu hanya ada nilai jika memiliki ISLAM.
Manusia itu hanya bermaruah jika tunduk dan patuh pada-Nya.

Ayuh sahabat, bangkit dan maralah. Jika benar-benar kamu seorang pejuang agama, maka kamu seharusnya insan yang paling berani, paling gagah, paling lantang dan mendepani segala-galanya. Kerana itulah tuntutan agama.

Orang beragama ialah orang yang paling hebat di dunia ini.

Wallahu'alam.

Monday, January 26, 2009

Pikiran dan PRK

Assalamu'alaikum

Bismillahirrahmanirrahim

Alhamdulillah, setelah sekian lama akhirnya aku dapat jugak update laman ini. Kesempatan mengguna laptop Fahmi secara curi-curi ini tak harus aku persia-siakan. Heh, maafkan aku teman. Engkau yang tidur tak off laptop.

Buat pembaca-pembaca sekalian, walaupun kamu bukanlah pembaca setia, namun aku tetap meminta maaf kerana sudah lama aku mendiamkan diri tanpa khabar berita. Aku tahu, kamu orang pasti mempersoalkan kesungguhan aku membuat blog. Nampak macam melepas batuh di tangga aje, tapi hakikatnya aku ingin sangat menjadikan blog aku ini suatu yang menarik untuk dikongsi bersama. Cuma masalahnya aku ini tidak memiliki laptop. Tunggulah aku dapat rezeki, nanti tiap-tiap minggu aku update. Insya-Allah.
( Nak sedekah pun boleh)

Ok lah teman-teman, kali ini aku hendak bercerita tentang pengalaman aku terlibat secara langsung dalam Pilihan Raya Kampus UM sesi 2009 yang baru sahaja berlalu. Pilihan raya kali ini memang menarik. Kenapa? Mestilah kerana parti yang mendapat sokongan aku(sebenarnya parti yang aku sokong) telah mendapat kemenangan.

Pembaca: Parti mana?

Oh, jika ada orang yang bertanya soalan sebegini, pastinya mereka tergolong dalam golongan orang-orang yang LamPi (Lambat Pikap). Tidak perlu aku ceritakan siapa yang menang, berita itu telah tersebar ke seantero Malaya, jika tidak kerana media asyik memaparkan istiadat Barrack Obama bersumpah, sudah pasti kemenangan Pro-Mahasiswa menjadi cover akhbar pada 20 Januari lalu.

Sebenarnya kemenangan itu hanya perkara terakhir yang menjadikan PRK kali ini indah. Sepanjang menempuh liku-liku menuju kemenangan, banyak lagi peristiwa-peristiwa yang mewarnai PRK kali ini. Jika disoroti, isu-isu besar yang menjadi perhatian ialah TNC HEPA RASUAH, KEPALA BABI dalam SURAU, MARKAS PRO-M DISERBU, AYAM TAMBATAN(??) PRO-M MEMBELOT, dan pelbagai lagi kejadian-kejadian yang akhirnya menyaksikan kemenangan berpihak kepada Pro-M.

Sungguhpun begitu, aku tidak ingin mengupas isu-isu itu. Jika nak tahu, layari mahasiswakini.com. Lu bacalah sendiri. Aku lebih berminat nak kongsi secebis pengalaman yang telah aku petik sepanjang temppoh PRK lalu. Aku yakin dan percaya ( baca dengan gaya Faisal Mustapha), setiap orang ada cerita sendiri yang menarik untuk dikongsi bersama, begitu jua diriku. Tapi aku bukanlah hendak bercerita, tetapi aku cuma hendak membuat kesimpulan berdasarkan ilmu aku yang cetek ini.

Pembaca: Kesimpulan tentang apa?

Heh, sabarlah. Sepanjang PRK lalu, aku dapati bahawa berlakunya pertembungan antara Pro-M dan GERAK(GERAK ni lawan Pro-M) adalah kerana adanya perbezaan ideologi yang dipegang. GERAK membawa suatu aliran pemikiran arus perdana, dan senang untuk dihadam oleh kebanyakan kita. Namun Pro-M pula membawakan suatu pandangan yang benar-benar berbeza.

Aku ambil suatu contoh, bila disebut tentang demonstrasi jalanan, apa pandangan kedua-dua pihak ini. GERAK sering kali melabel perbuatan ini ganas dan bertentangan dengan norma kehidupan masyarakat Malaya. Dan semestinya pandangan sebegini mendapat sokongan ramai pihak di luar sana. Mana ada demonstrasi tu tak ganas?

Namun di pihak Pro-M, kami memandang perkara-perkara ganas sedemikian sebagai suatu lambang keberanian, kelantangan dan di situlah terletak KEMULIAAN kami. Sukar diterima akal, bukan?

Jika ditanya apa itu peranan mahasiswa. GERAK dengan gembiranya menyebut bahawa peranan utama ialah belajar dan mencapai kecemerlangan supaya bila grad nanti, akan mendapat pekerjaan yang baik dan mampu menyumbang kepada masyarakat.

Namun bagi kami di pihak Pro-M, sudah tentu kami mengangkat martabat mahasiswa ke suatu tahap yang lebih tinggi. Kami yakin bahawa mahasiswa itu kerjanya bukan hanya belajar di dewan-dewan kuliah, tetapi seharusnya berbakti kepada rakyat, dan jika diberi kuasa untuk memerintah pun kami mampu.

Jika disebut tentang nilai-nilai agama, pandangan GERAK sudah tentulah bertepatan dengan pandangan orang umum, iaitu agama mengajar kita supaya menjadi insan berakhlak mulia, bersopan-santun, lemah-lembut dan yang sewaktu dengannya.

Tapi bagi Pro-M, apa yang kami buat selama ini itulah tuntutan agama. Lalu terloponglah pendokong-pendokong GERAK, lalu bertanya, adakah KEGANASAN itu diajar oleh agama?


JADI,SIAPA YANG BETUL?

Di sini,aku cuma ingin nyatakan, 'world-view' manusia tercipta selepas manusia itu menjalani kehidupan dan membuat kesimpulan daripada pengalaman hidup mereka. Sistem hidup yang ada pada hari inilah telah menjadi acuan kepada ideologi yang dipegang oleh majoriti orang zaman ini.

Persoalanku, murnikah sistem itu?
Benarkah apa yang dipegang itu ialah sesuatu yang BETUL?
Bagaimanakah menentukan suatu ideologi itu BETUL atau SALAH?

Aku dah letih, lu pikirla sendiri.



Thursday, November 20, 2008

CUTIEEEEEEEEEEEEEEE..................................



Assalamuálaikum semua!!!!

Bertemu lagi kita, kali ni dalam mood ceria, kerana aku sedang cuti.(Yeeaa!!) Bercakap pasal cuti, cuti memang ditunggu-tunggu oleh semua manusia, tak kisahlah apa jua status mereka. Sama ada pelajar sekolah, budak-budak IPT, pekerja-pekerja kerajaan, kakitangan swasta, mahupun aktivis-aktivis yang tak berapa aktif macam aku.(Huhuhu) Malaysia pun pernah dilabel sebagai negara paling banyak cuti, tapi entah mengapa jiwa rakyat negaraku ni tak pernah pula menolak cuti. Kalau boleh hari-hari nak cuti. Cuti....cuti....cuti....

Mengapa cuti ni macam menarik sangat? Sampai ada golongan sanggup membeli MC semata-mata nak cuti. Kalau budak-budak sekolah yang "hyperactive" pula ada yang ponteng sekolah, pun sebab nak cuti. Budak IPT pun apa kurangnya, tuang kelas tu dah jadi macam makan nasi, yang penting ada orang sign attendance. Persoalannya, mengapakah manusia suka cuti? Jom bersama-sama aku berfikir, semoga pemikiran kita membuahkan suatu yang bermakna untuk kita semua.

Sebelum kita bercerita panjang tentang cuti, marilah kita bersama-sama berkenalan dahulu dengan sang cuti ini. Disebabkan semasa aku menulis artikel ini, aku tiada memegang Kamus Dewan, maka aku mendefinisi cuti berdasarkan ilmu dan pengalaman aku sendiri. Pada aku, cuti itu bermaksud suatu keadaan di mana kita bebas daripada kewajipan melaksanakan tugas dan peranan kita. Selalunya cuti itu ada jangka masa tertentu, kerana jika tiada had masa, itu bukan cuti, itu pencen namanya. Selepas habis cuti, maka seseorang manusia itu akan terpaksa kembali kepada rutin asalnya, iaitu hidup dengan dibebani tanggungjawab dan kewajipan melaksanakannya.

Maka jelaslah pada kita bahawa cuti itu suatu lambang kemerdekaan. Walaupun sementara, namun cutilah masa untuk kita melepaskan diri daripada sebarang tekanan yang wujud kerana peranan yang dipikul. Waktu cuti adalah saat untuk menikmati hidup ini, setelah banyak waktu yang digunakan semata-mata untuk berperanan dalam hidup. Sebab itulah bila aku bertanya rakan-rakan aku tentang rancangan mereka ketika cuti, antara jawapan popular ialah tidur. Tidak buat apa-apa. Itu yang dikejari kebanyakan manusia.

Siapa yang suka dengan peranan yang dipikul? Jika ditanya kepada pelajar, adakah mereka suka belajar? Adakah orang-orang yang bekerja itu suka bekerja? Aku bukan menujukan kepada semua, namun aku rasa kebanyakan jawapan adalah tidak. Pelajar tidak pernah suka belajar. Pekerja tidak pernah suka bekerja. Namun semua itu dilakukan kerana terpaksa, demi untuk hidup. Sebab itu jugalah ramai orang berangan-angan untuk kaya, kerana setelah mempunyai duit yang banyak, maka segala keperluan material duniawi ini tidak akan menjadi suatu masalah lagi. Tak perlu buat apa-apa pun, jika kaya, dapat semuanya.

Mungkin dapat disimpulkan bahawa salah satu matlamat utama manusia bekerja dan bersusah-payah dalam hidup ini adalah untuk mendapat cuti. Hohoho..

Ini cuma pendapat aku. Tapi aku rasa memang fitrah manusia dicipta begitu. Ada bahagian dalam diri manusia yang mahukan kerehatan. Sebab itu bila dilihat pada ajaran Buddha, untuk mencapai kebahagiaan sebenar dalam hidup, mereka perlu melepaskan semua kepentingan duniawi. Mereka tidak boleh mengejar apa-apa pun dalam hidup ini. Tidak perlu buat apa-apa, kerana keinginan itu hanyalah ciptaan manusia dan akhirnya membebankan diri sendiri. Ajaran Buddha juga mengajar konsep kitaran hidup yang berulang-ulang. Orang yang mati akan hidup kembali, dan kehidupan seterusnya itu bergantung kepada amalan dan sikapnya dalam kehidupan kini. Jika dia baik, mungkin akan dihidupkan sebagai manusia kembali, namun jika sebaliknya, mungkin dia akan hidup kembali sebagai haiwan. Kitaran ini berterusan, dan mungkin kerana letih dengan kitaran ini, ajaran Buddha memperkenalkan konsep Nirvana. Orang yang mencapai Nirvana akan menjadi Buddha dan akan terlepas daripada kitaran hidup yang meletihkan ini. Umpama api yang padam, lenyap entah ke mana.

Itu dalam Buddha, Islam pula bagaimana? Sebenarnya memang Islam juga menuntut umatnya agar mengejar cuti, iaitu cuti yang mutlak. Cuba bayangkan.... Kita berada dalam suasana yang amat bahagia, tanpa sebarang tekanan dan bebanan tanggungjawab. Tiada juga desakan untuk kita berperanan, kerana segala-galanya telah ada untuk kita. Di manakah kita dapat memperoleh nikmat sebegitu? Tak perlu aku beritahu, jawapannya tentulah syurga. Di situlah kita akan menikmati suatu percutian yang tidak dapat dialami di tempat lain. Maka amat rugilah jika kita terlepas percutian itu.

Namun memang sudah hukum alam, sesuatu yang indah itu sudah tentulah tidak percuma. Nak bercuti di syurga, sudah tentulah lebih mahal daripada percutian ke lokasi-lokasi perlancongan menarik di Malaysia ini. Jika kita belajar dan bekerja selama bertahun-tahun untuk bercuti di dunia selama 2, 3 minggu sahaja, aku terfikir, untuk percutian yang takkan tamat, agak-agak berapa lama perlu aku "beramal" untuk mendapatkannya. Jika terus difikir, aku rasa jawapannya satu sahaja, iaitu di dunia ini tiada cuti. Masakan kehidupan bahagia abadi dapat dicapai jika hidup ini asyik tidur saja.

Maka aku simpulkan di sini, percutian di dunia itu suatu kekosongan, dan kekosongan itu membunuh. Ia membunuh jiwa, melemahkan akal, melembikkan fizikal. Maka janganlah kita bercuti, walaupun kalendar akademik kita menunjukkan cuti sekalipun. Benar, kita bercuti sebagai pelajar, namun ada satu peranan yang tak pernah ada MC selagi mana kita bernyawa, iaitu selaku hamba Allah.

Jangan penuhkan cuti dengan tidur saja

Jangan main game saja

Jangan melancong saja

Berperananlah mengikut tanggungjawab kita, kerana dengan perananlah menjadi bukti bahawa kita manusia yang hidup, dan tidak wujud semata-mata.


p/s: Aku juga masih mencari peranan aku untuk cuti ni.

Monday, October 20, 2008

Radiant Thinking



Dipetik daripada buku The Mind Map Book oleh Tony Buzan,



"Radiant Thinking (from 'to radiate', meaning 'to spread or move in directions, or from a given centre') refers to associative thought procecces that proceed from or connect to a central point. The other meanings of radiant are also relevant: 'shining brightly', 'the look of bright eyes beaming with joy and hope' and 'the focal point of a meteoric shower' - similar to the 'burst of thought'."

The Mind Map Book,Tony and Barry Buzan, muka surat 57.

Inilah inspirasi aku ke arah menulis blog. Aku ingin menjadi seorang pemikir yang radian. Namun aku dapat merasakan diriku kini bukanlah seorang yang mempunyai otak yang mampu berfikir secara kritikal dan radian, mampu mencetuskan Ledakan Pemikiran yang akan memberi kesan kepada insan di sekelilingku.Sekurang-kurangnya masih belum lagi,aku harap.





Sunday, October 19, 2008

Tentang Aku

Assalamu'alaykum
Pagi ni aku xde kejer(sebenornya ada,postpone jap) ,so aku online lah untuk mencari santapan minda menerusi alam maya..Tapi bila asyik mencari je,aku diselubungi kebosanan,lantas hati merasa untuk berkongsi..

Perkongsian ke-2 ni masih lagi belum mengenai sesuatu yang berat dan memerlukan ketajaman akal untuk menafsir. Hanya sedikit perkongsian informasi. Tentang apa?
Mestilah tentang aku. HAri ni aku nak bercerita tentang diri aku. Tapi ada dua masalah besar yang aku hadapi. Sebenarnya ini hanya mainan minda, tapi amat mengganggu.

Pertama,aku teringat satu ungkapan yang amat popular di bumi Malaysia ini

"Tak kenal maka tak cinta"

Hatiku gusar. Adakah bila aku memperkenalkan diri, dan aku dikenali ramai, aku akan bercinta?
Ahh...Takutnya dicintai ramai..He3..sebenarnya ini bukan masalah,hanya sedikit ke"poyo"an.

Kedua,aku tak tahu nak cerita apa.
Tak tahu bukan kerana xde info,
tapi kerana terlalu banyak dalam minda.
Ye lah,kalau dah bercerita tentang diri,terlalu banyak yang dapat dinukil. Boleh buat buku pun,cuma maybe xkan laku kot.

So,aku pun terfikir,apa kata kalau aku tak payah berfikir...? Apa kata kalau aku menulis sahaja tentang diri aku secara spontan tanpa berfikir panjang..Aku sengaja hendak melihat bagaimana otakku berfungsi secara spontan...Mula-mula,ceritakan serba ringkas dengan pantas 10 perkara tentang diri anda,aku bertanya pada diri sendiri...Then,aku tarik nafas dalam-dalam,1....2....mula


Namaku Abu Ubaidah Amir bin Ab. Maalek
Panggil Abu jek
Lahir kat Sarawak (6 Jun ), pernah menetap kat Sabah, membesar paling lama kat kElantan, dan sekarang aku tinggal kat Setapak KL.
Anak ke-2 daripada 6 campor 8 orang adik beradik
bapaku pemandu teksi
ibuku pekerja kilang
aku pelajar UM
Biomed Engine, 1st year
hobiku, membaca,menangguh kerja, main internet, paling latest, ngeblog
Duk kolej 11 UM, bersama roomate yang sengal2 belake...

tiiiiiiiiiiiiiiiit...ingin ku menulis tapi dah sampai had,10 fakta.
Bila aku lihat kembali,semuanya maklumat yang simple2..Xde yang special langsung..So,aku membuat konklusi bahawa aku masih lagi belum mencapai tahap kreatif yang tinggi,aku memperkenalkan diri dengan cara biasa dan sungguh membosankan..Minda spontan aku masih perlahan..

Itulah aku...

Tapi aku tak kisah jika orang tak kenal latar belakang aku
cukupla sekadar kenal muka dan nama
yang penting aku nak orang kenal bagaimana
corak pemikiranku,
tahap intelekku,

kecerdasan mindaku,
keligatan akalku,
keberkesanan otak aku,


Sebab aku pun masih tak kenal diriku dalam aspek2 itu,
jika kamu sudah kenal aku,bagitahu lah aku.



Aku juga nak kenal siapa aku,dari sudut itu.

Thursday, October 16, 2008

Salam Pertemuan


Assalamu'alaykum,
Salam diberi,
tangan dihulur,
ikatan termeterai,
dari hati yang luhur...

Ini artikel 1st aku dalam blog aku ni, just nak menyampaikan salam pertemuan kepada semua...
Aku bukan pandai sangat dalam bidang penulisan ni,tapi entah ngape dalam hati ni macam ada satu desakan yang memaksa aku untuk buat blog.

Nak tulis ape dalam ni,aku pun tak plan lagi.Tapi senang cakap,blog ni hanyalah blog personal.Blog ni mewakili diri aku sendiri.Jadi segala isi-isinya mestilah berkaitan dengan aku.
Fikiranku
Ideaku
Ceritaku
Lawakku
Rasaku
Beritaku
Kegiatanku
Aktivitiku
Perjuanganku
Komenku
Akademikku
Hidupku
Keluargaku
Kawanku
Duniaku
Universitiku
Rumahku
Pro-Mahasiswaku
PMIUMku
Biomedical Engineeringku
.........................
.....................
................
..........

Banyak lagi lah,apa-apa je yang berkaitan.

Bagi aku,blog aku ni ialah ruang aku nak ekspresi diri,
tempat aku meraih perhatian ramai...heh...

Insya Allah,aku akan cuba mengisi blog ini sebaik mungkin,
semoga perjalanan blog ini akan berpanjangan,
dan akan dapat menyumbangkan sesuatu pada semua...

Aku ada kelas sekarang,
pegi dulu..
Nantikan bersama cetusan otak radiant aku...

Salam'alayk.