Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), baru-baru ini telah menjadi suatu isu hangat yang menarik perhatian warga Malaysia yang cakna. Kemuncak kepada ke'cakna'an masyarakat akhirnya terserlah pada suatu demonstrasi besar-besaran pada 7 Mac 2009 yang lalu. Tahniah pada diriku dan semua pihak yang terlibat dalam usaha untuk menyampaikan kebenaran kepada pihak-pihak yang masih lena dalam jaga.
Namun, aku menulis coretan kali ini bukanlah bertujuan untuk menggambarkan suasana ketika demonstrasi itu, bukan juga ingin mengutuk para FRU yang sungguh "mesra rakyat" pada hari itu. Nota ringkas ini hanyalah sekadar usahaku untuk menyampaikan pencerahan kepada mereka yang masih tertanya-tanya, mengapakah ditentang dasar ini?
Bagi memudahkan pemahaman, aku mencuba analogi mudah, kereta dan jalan raya.
Bahasa itu KERETA.
Sains dan matematik itu JALAN RAYA.
Kereta itu alat untuk berjalan di jalan raya. Sebelum memandu di jalanan, seorang pemandu itu perlulah tahu bagaimana hendak memandu. Maknanya pemandu kena belajar memandu, ambil kelas memandu, buat lesen, dalam erti kata lain, kena ada skil untuk bawa kereta.
Jalan raya itu pula ada pelbagai, ada lebuh raya, ada jalan kampung, ada jalan lurus, jalan berliku, jalan jem, jalan luas, jalan sempit, dan macam-macam lagi lah.
Namun, tidak kira apa jenis jalan sekalipun, sekiranya ada skil untuk memandu, insya Allah semua jenis jalan boleh dilalui. Tetapi, lain pula ceritanya dengan golongan yang tidak reti langsung memandu. Jika dipaksa secara ganas sekalipun, mustahil bagi mereka untuk berjaya memandu, hatta diberi kereta paling canggih serta dihamparkan jalan yang luas dan lurus. Jika berjaya pun, itu hanyalah suatu nasib baik serta tiada jaminan bahawa setiap orang mampu melakukannya.
Erm....Faham tak sekarang?
Analogi yang lebih ringkas, seseorang yang tak reti berenang, dipaksa untuk terjun ke lautan yang dalam.
Kaitkan dengan PPSMI. Jika kita tak pandai menggunakan bahasa, bagaimanakah hendak mengaplikasikan bahasa itu untuk belajar sesuatu pengetahuan. Bahasa itu adalah alat untuk belajar, sedangkan sains dan matematik itu adalah pengetahuan yang memerlukan bahasa untuk difahami. Dasar PPSMI pula memaksa pelajar-pelajar untuk memahami sains dan matematik dalam bahasa yang tidak difahami.
Bagi aku, penentangan terhadap PPSMI bukanlah perjuangan untuk semua, tetapi khusus untuk bangsa Melayu. Namun, ianya telah mengembalikan suatu paradigma klasik untuk difikirkan bersama. Alat terbaik untuk belajar, adalah bahasa ibunda seseorang individu. Seharusnya setiap individu berhak untuk memilih medium mana yang ingin diguna.
Jika selesa berbahasa Inggeris, maka "speaking"lah.
Jika fasih berbahasa Melayu, bercakaplah.
Namun kurang bijak sekiranya memaksa semua menggunakan satu bahasa yang sama.
Lebih baik buat dasar Pembelajaran Ikut Bahasa yang Sesuai dengan Jiwa.
Lepas tu, buat translasi banyak-banyak.
Yang penting itu FAHAM,
bukan TAHU semata-mata.
Wallahu'alam.
p/s : link ke blog-blog berkaitan isu PPSMI
gambar Memorandum GMP kepada YDP Agong