Wednesday, January 28, 2009

Nilai Seorang Insan




Nukilan ini ditujukan khas buat seorang sahabat, kerana aku tidak mampu melafazkan melalui kata-kata. Ini hanyalah pendapat dan pemikiran peribadiku. Silakan jika anda masih ingin mem"beta"-abu ubaidah

"Orang yang hebat tidak pernah dipengaruhi suasana, sebaliknya merekalah yang mencipta suasana dan menggerakkannya. Jika tidak, bahkan nabi sanggup untuk mengubah kaum Arab sedangkan masyarakat ketika itu adalah sejahil-jahil manusia", aku cuba menasihati sahabatku.

"Tapi tidak semua insan itu sehebat dan sekuat nabi", jawabnya ringkas dan bersahaja.

Jawapan seringkas itu membuatkan aku terkedu seribu bahasa. Memang itulah kelemahanku, aku tidak pintar dalam menegakkan hujah. Namun jauh di sudut hati aku tetap ada sedikit kegelisahan yang mengundang. Resah kerana aku gagal menyampaikan apa yang kurasa, dan resah melihat temanku yang seolah-olah terlalu mudah dipengaruhi suasana.

Aku berkata-kata bukan atas dasar memberi persepsi buta, tapi kerana aku telahpun mengenalimu semenjak kita masih mentah lagi. Dan seringkali aku lihat benda yang sama berulang-ulang dalam hidupmu, teman.

Sahabat, sebenarnya di mana letaknya nilai seorang insan itu?

Selaku seorang manusia, layakkah kita menilai kualiti diri kita sendiri?



Analogiku mudah, pernahkah ikan-ikan di lautan itu menilaikan diri mereka sendiri? Adakah apabila ikan-ikan itu dinaikkan ke daratan, sudah terlabel pada batang tubuh mereka tanda harga, lalu dijual mengikut panduan itu?

Jawapannya sudah tentulah tidak, tetapi manusia itu yang menilainya, berdasarkan apa aku kurang pasti. Namun, dari mana datangnya kuasa dan hak untuk kita menilai itu? Atas dasar apakah kita selaku manusia layak menilaikan ikan-ikan dan sekalian makhluk lain selain manusia. Sudah tentu kerana kita ini adalah sebaik-baik kejadian, kita dikurniakan sesuatu yang menjadikan kita ini semulia kejadian.

Namun, harus diingat, semulia mana manusia itu, tetap ada yang lebih mulia. Itulah Sang Pencipta yang jauh lebih memahami kita berbanding diri kita sendiri. Berdasarkan logik akal ini, sudah pastilah yang layak menilai dan menghukum makhluk bernama manusia itu hanyalah Dia, bukannya manusia lain hatta diri kita sendiri.



Dan, sejak dahulu, kita telahpun dinilai oleh-Nya

"Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma'ruf, dan mencegah dari yang munkar, dan beriman kepada Allah. Sekiranya Ahli Kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka, di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik." ali-imran(3:110)

Ini penilaian Dia terhadap diri kita selaku manusia akhir zaman. Kita dilabel sebagai sebaik-baik umat, tetapi syaratnya perlulah menjalankan kerja-kerja nabi, iaitu menyampaikan Islam kepada semua manusia, 'amar ma'ruf dan nahi mungkar.

Menjadi seperti nabi itu bukanlah suatu yang ringan. Memang berat, dan memerlukan kita memiliki kekuatan mental, fizikal, dan rohani yang tinggi. Namun, kekuatan itu tidak akan hadir tanpa kita cari. Kekuatan itu tidak akan tiba sekiranya kita takut untuk menghadapi ujian dan cabaran yang tiba.

Dan menilai diri kita sebagai lemah dan tidak layak sejak dari awal hanya akan mewujudkan "halangan minda" yang akan menyekat potensi diri. Ini bukan ungkapan merendah diri atau zuhud, tetapi bagiku inilah ungkapan takbur dan lupa diri. Ungkapan ini hanyalah ungkapan untuk menyelamatkan diri, melindungi kepentingan peribadi. Apakah yang kamu takut kamu akan hilang sekiranya kamu rempuh halangan itu?

Ingatlah pada pesanan berbisa Umar ibn al-Khattab,

"Aku ini mulia kerana Islam, maka jika aku mencari kemuliaan selain daripada Islam, maka bersedialah untuk menerima seburuk-buruk hinaan"

Manusia yang tiada harta, tidak pernah sayangkan hartanya.
Manusia yang kaya sahaja sibuk mempertahankan harta.
Kita hanya akan mempertahankan sesuatu sekiranya kita memiliki sesuatu.

Asalnya manusia daripada tanah, air mani yang hina.
Asalnya kita memang tiada maruah, jadi maruah apakah yang dipertahankan selama ini?
Asalnya kita memang tiada apa, jadi apakah yang kita miliki untuk dipertahankan?

Manusia itu hanya ada nilai jika memiliki ISLAM.
Manusia itu hanya bermaruah jika tunduk dan patuh pada-Nya.

Ayuh sahabat, bangkit dan maralah. Jika benar-benar kamu seorang pejuang agama, maka kamu seharusnya insan yang paling berani, paling gagah, paling lantang dan mendepani segala-galanya. Kerana itulah tuntutan agama.

Orang beragama ialah orang yang paling hebat di dunia ini.

Wallahu'alam.

Monday, January 26, 2009

Pikiran dan PRK

Assalamu'alaikum

Bismillahirrahmanirrahim

Alhamdulillah, setelah sekian lama akhirnya aku dapat jugak update laman ini. Kesempatan mengguna laptop Fahmi secara curi-curi ini tak harus aku persia-siakan. Heh, maafkan aku teman. Engkau yang tidur tak off laptop.

Buat pembaca-pembaca sekalian, walaupun kamu bukanlah pembaca setia, namun aku tetap meminta maaf kerana sudah lama aku mendiamkan diri tanpa khabar berita. Aku tahu, kamu orang pasti mempersoalkan kesungguhan aku membuat blog. Nampak macam melepas batuh di tangga aje, tapi hakikatnya aku ingin sangat menjadikan blog aku ini suatu yang menarik untuk dikongsi bersama. Cuma masalahnya aku ini tidak memiliki laptop. Tunggulah aku dapat rezeki, nanti tiap-tiap minggu aku update. Insya-Allah.
( Nak sedekah pun boleh)

Ok lah teman-teman, kali ini aku hendak bercerita tentang pengalaman aku terlibat secara langsung dalam Pilihan Raya Kampus UM sesi 2009 yang baru sahaja berlalu. Pilihan raya kali ini memang menarik. Kenapa? Mestilah kerana parti yang mendapat sokongan aku(sebenarnya parti yang aku sokong) telah mendapat kemenangan.

Pembaca: Parti mana?

Oh, jika ada orang yang bertanya soalan sebegini, pastinya mereka tergolong dalam golongan orang-orang yang LamPi (Lambat Pikap). Tidak perlu aku ceritakan siapa yang menang, berita itu telah tersebar ke seantero Malaya, jika tidak kerana media asyik memaparkan istiadat Barrack Obama bersumpah, sudah pasti kemenangan Pro-Mahasiswa menjadi cover akhbar pada 20 Januari lalu.

Sebenarnya kemenangan itu hanya perkara terakhir yang menjadikan PRK kali ini indah. Sepanjang menempuh liku-liku menuju kemenangan, banyak lagi peristiwa-peristiwa yang mewarnai PRK kali ini. Jika disoroti, isu-isu besar yang menjadi perhatian ialah TNC HEPA RASUAH, KEPALA BABI dalam SURAU, MARKAS PRO-M DISERBU, AYAM TAMBATAN(??) PRO-M MEMBELOT, dan pelbagai lagi kejadian-kejadian yang akhirnya menyaksikan kemenangan berpihak kepada Pro-M.

Sungguhpun begitu, aku tidak ingin mengupas isu-isu itu. Jika nak tahu, layari mahasiswakini.com. Lu bacalah sendiri. Aku lebih berminat nak kongsi secebis pengalaman yang telah aku petik sepanjang temppoh PRK lalu. Aku yakin dan percaya ( baca dengan gaya Faisal Mustapha), setiap orang ada cerita sendiri yang menarik untuk dikongsi bersama, begitu jua diriku. Tapi aku bukanlah hendak bercerita, tetapi aku cuma hendak membuat kesimpulan berdasarkan ilmu aku yang cetek ini.

Pembaca: Kesimpulan tentang apa?

Heh, sabarlah. Sepanjang PRK lalu, aku dapati bahawa berlakunya pertembungan antara Pro-M dan GERAK(GERAK ni lawan Pro-M) adalah kerana adanya perbezaan ideologi yang dipegang. GERAK membawa suatu aliran pemikiran arus perdana, dan senang untuk dihadam oleh kebanyakan kita. Namun Pro-M pula membawakan suatu pandangan yang benar-benar berbeza.

Aku ambil suatu contoh, bila disebut tentang demonstrasi jalanan, apa pandangan kedua-dua pihak ini. GERAK sering kali melabel perbuatan ini ganas dan bertentangan dengan norma kehidupan masyarakat Malaya. Dan semestinya pandangan sebegini mendapat sokongan ramai pihak di luar sana. Mana ada demonstrasi tu tak ganas?

Namun di pihak Pro-M, kami memandang perkara-perkara ganas sedemikian sebagai suatu lambang keberanian, kelantangan dan di situlah terletak KEMULIAAN kami. Sukar diterima akal, bukan?

Jika ditanya apa itu peranan mahasiswa. GERAK dengan gembiranya menyebut bahawa peranan utama ialah belajar dan mencapai kecemerlangan supaya bila grad nanti, akan mendapat pekerjaan yang baik dan mampu menyumbang kepada masyarakat.

Namun bagi kami di pihak Pro-M, sudah tentu kami mengangkat martabat mahasiswa ke suatu tahap yang lebih tinggi. Kami yakin bahawa mahasiswa itu kerjanya bukan hanya belajar di dewan-dewan kuliah, tetapi seharusnya berbakti kepada rakyat, dan jika diberi kuasa untuk memerintah pun kami mampu.

Jika disebut tentang nilai-nilai agama, pandangan GERAK sudah tentulah bertepatan dengan pandangan orang umum, iaitu agama mengajar kita supaya menjadi insan berakhlak mulia, bersopan-santun, lemah-lembut dan yang sewaktu dengannya.

Tapi bagi Pro-M, apa yang kami buat selama ini itulah tuntutan agama. Lalu terloponglah pendokong-pendokong GERAK, lalu bertanya, adakah KEGANASAN itu diajar oleh agama?


JADI,SIAPA YANG BETUL?

Di sini,aku cuma ingin nyatakan, 'world-view' manusia tercipta selepas manusia itu menjalani kehidupan dan membuat kesimpulan daripada pengalaman hidup mereka. Sistem hidup yang ada pada hari inilah telah menjadi acuan kepada ideologi yang dipegang oleh majoriti orang zaman ini.

Persoalanku, murnikah sistem itu?
Benarkah apa yang dipegang itu ialah sesuatu yang BETUL?
Bagaimanakah menentukan suatu ideologi itu BETUL atau SALAH?

Aku dah letih, lu pikirla sendiri.